PENTERJEMAHAN SEBAGAI SUMBER BAHASA MELAYU
PENTERJEMAHAN SEBAGAI SUMBER BAHASA MELAYU
Terjemahan antara sumber pembinaan perbendaharaan atau kosa kata sesuatu bahasa, bahkan usaha penterjemahan telah bermula sejak zaman lampau. Menurut Puteri Roslina dalam buku Meneroka Penterjemahan Bahasa Melayu menyatakan bahawa bukti awal penterjemahan melalui penemuan batu bersurat yang bertarikh 3000 SM di tebing sungai Nil pada zaman Mesir Tua di Timur Tengah. Bukti ini menunjukkan bahawa kegiatan penterjemahan telah bermula lebih awal daripada tempoh itu kerana bahasa-bahasa dunia telah wujud sekian lama, maka hal ini memerlukan kepada penterjemahan sebagai medium pemindahan bahasa.
Menyoroti penterjemahan bahasa Melayu, sejarah merekodkan bahawa tamadun
Melayu yang menjadi teras tamadun Malaysia telah bergiat aktif dalam usaha
penterjemahan yang dimulakan sejak era penterjemah istana, mubaligh sehinggalah
penterjemah profesional apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Penterjemahan bahasa Melayu semakin mengorak langkah melalui penubuhan Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berperanan menerbitkan bahan-bahan pendidikan
pelbagai subjek dalam bahasa Melayu khususnya subjek-subjek sains dan
teknologi.
Kewujudan badan-badan penterjemahan yang membantu merancakkan lagi
aktiviti penterjemahan bahasa Melayu seperti Persatuan Penterjemah Malaysia
(PPM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM, dahulunya Institut
Terjemahan Negara Malaysia) dan penawaran program pengajian penterjemahan di
Universiti Sains Malaysia (USM). Melalui latihan sistematik dan kajian ilmiah
yang diikuti ini berjaya melahirkan penterjemah profesional dalam pelbagai
disiplin ilmu dan kepakaran yang sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan kosa
kata bahasa Melayu daripada bahasa-bahasa sumber.
Lantaran itu, perkara yang sama yang berlaku pada bahasa Melayu apabila
kitab al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW diterjemah dan diterbitkan dalam
bahasa Melayu sebagai rujukan umat Islam yang didominasi oleh masyarakat
penutur bahasa Melayu. Penterjemahan kitab-kitab agama telah melahirkan kosa
kata bahasa Melayu khususnya istilah agama seperti solat (sembahyang), wudhu’
(air sembahyang), kitab (buku), musalla (surau) dan sebagainya.
Penterjemahan di Kepulauan Tanah Melayu secara khususnya boleh dikatakan
daripada bahasa Arab. Kajian yang dibuat oleh Pakar Bidang seperti Idris Mansor
berkaitan aktiviti penterjemahan di Malaysia membuktikan bahawa bahasa Arab
telah menjadi bahasa kedua terpenting selepas bahasa Melayu sejak abad ke-13,
iaitu ketika zaman pemerintahan Melayu lama di Pasai. Pada waktu itu, banyak
buku berbahasa Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk digunakan dalam
aktiviti pengajian keagamaan di Melaka, Acheh dan Riau secara meluas. Bagi
Pakar Bahasa, Asmah Omar pula menambah bahawa penterjemahan bidang agama sangat
penting pada waktu itu seperti terjemahan ayat-ayat al-Quran, hadis, doa dan
zikir yang berkaitan dengan ibadat harian yang bacaannya menggunakan bahasa
Arab.
Justeru itu, terjemahan bahasa Arab-bahasa Melayu menjadi dominan di
Kepulauan Tanah Melayu, bahkan Syed Naquib al-Attas (1999) menyebut dalam
tulisan beliau Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu bahawa bahasa Melayu
dikenali sebagai bahasa Islam oleh orang Arab yang datang sebagai pendakwah
pada waktu itu. Bidang penterjemahan Arab-Melayu sangat diperlukan pada hari
ini berasaskan kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan keperluan
memahami agama Islam oleh masyarakat Melayu yang ramai tidak menguasai bahasa
Arab.
POSTED
BY,
NURSHAIRAH
AHMAD MUSLIM
Comments
Post a Comment