KESILAPAN TERJEMAHAN BAHASA MELAYU-BAHASA ARAB MENGGUNAKAN GOOGLE TRANSLATE

 Ejen carian google atau dikenali juga dengan google translate telah menawarkan perkhidmatan penterjemahan lebih dari 50 bahasa di dunia. Pelbagai golongan masyarakat sama ada pelajar mahupun ahli akademik juga turut mendapat manfaat dari kemudahan mesin bahasa tersebut. Ramai dari kalangan pelajar-pelajar menggunakan perkhidmatan ejen carian google ini untuk menterjemah teks berbahasa Melayu ke bahasa Arab kerana ia percuma dan mudah untuk dicapai. Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian pelbagai kesilapan terjemahan dari aspek semantik dapat dikesan dalam terjemahan Melayu-Arab. Antaranya, terjemahan yang diberikan adakalanya kurang tepat dan tidak berkaitan langsung juga dengan yang ingin diterjemahkan. Selain itu, perkataan yang berkaitan dengan peribahasa kerap kali diterjemahkan dengan terjemahan harfiy. Di samping itu, terdapat kesilapan tatabahasa yang ketara terutamanya dalam penggunaan kata ganti nama. Sedangkan ia adalah asas penting dalam bahasa Arab. 

Namun begitu, terjemahan berbantukan mesin kini masih lagi berhadapan dengan pelbagai kelemahan. Kualiti hasil terjemahan dari satu bahasa ke bahasa lain tidak selalu sama. Antara kelemahan - kelemahan yang dikenalpasti adalah ia menterjemah perkataan yang mempunyai berbagai-bagai makna, ungkapan istilah, peribahasa, penggunaan metafora, hiperbola, terjemahan harfiah, terjemah makna implisit, makna figuratif (makna kiasan), makna konotasi (tersirat) dan terjemahan komunokatif. Ada kalanya terjemahan mesin tidak dapat menterjemah ke dalam bahasa sasaran hanya kerana perkataan tersebut digandakan untuk menunjukkan jamak. Perkataan "baju" dapat diterjemah dengan baik iaitu "قميص" tetapi hasil yang sama sekali berbeza diperolehi apabila ia dijamakkan. Google menggunakan bahasa Inggeris yang ditulis dalam bahasa Arab bagi menerangkan maksudnya. Keadaan ini boleh mengelirukan pengguna terutama sekali yang kurang arif dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. 

Kesimpulannya, bagi mereka yang tidak ada asas bahasa Arab dan bergantung sepenuhnya kepada khidmat terjemahan Google ini sama ada pelajar ataupun mereka yang tidak berpengetahuan asas bahasa Arab akan menghadapi masalah ketika melakukan kerja-kerja terjemahan. Sudah pasti mereka akan menerima fakta yang tidak tepat dan menghasilkan terjemahan yang sukar difahami maknanya. Memandangkan khidmat terjemahan ini mendapat sambutan menggalakkan dan digunakan secara meluas oleh pelbagai masyarakat, adalah dikhuatiri penggunaan hasil terjemahan yang silap ini akan terus menerus dipraktikkan sekaligus akan menjadi kebiasaan di kalangan umum.

Comments

Popular posts from this blog

UNGKAPAN HARIAN

Perkataan Berlawanan